Tuesday, October 20, 2009

SEJARAH AWAL HPA DI TAIPING

Taiping merupakan lokasi awal yang diterokai oleh pemimpin-pemimpin HPA dari Kelab Pemimpin Utara ( KPU ). Sekitar tahun 2000, Taiping dan Kamunting sahaja mempunyai ahli hampir 3000 orang. Kepimpinan HPA pada peringkat awalnya diterajui oleh Saudara Bakri Jamaludin, seorang pengarah di sebuah agensi kerajaan di Taiping. Beliau merupakan pemimpin yang mempunyai ilmu dan pengalaman luas dalam bidang herba. Sebuah Sekolah Agama Rakyat ( SAR ) Darul Ta'lim, yang terletak di Sungai Limau, Batu Kurau, Perak dibina atas sebahagian sumbangan keringat beliau. Ketika itu HPA hadir sebagai pemangkin dalam membantu dana sekolah tersebut melalui pembinaan jaringan yang mantap.

Pada masa itu juga lahir beberapa pemimpin lain yang hebat di Batu Kurau. Antaranya Ustaz Roslee, Puan Naqibah No'ma dan Cikgu Ridzuan. Mereka sering hadir dalam pelbagai program HPA dan menjadi pemimpin yang disegani. Setelah Saudara Bakri ditukarkan ke Johor atas sebab - sebab 'teknikal' dengan Kerajaan Negeri, perjalanan HPA mulai malap. Pemimpin-pemimpin yang ada pada masa itu seperti kehilangan punca dan arah tujuan. Di pekan Kamunting sendiri, saudara Razali Kassim yang pada awalnya yang bergerak aktif, juga makin lama makin hilang daripada program - program HPA.

Menjelang 2005, PJS Cikgu Mohd Nadzri dan PJS Cikgu Ismail Othman kembali bertapak di pekan Kamunting dan Taiping. Kehadiran mereka adalah atas jemputan Ustaz Mohd Yusfee Yusof, ahli HPA di bawah rangkaian PJS Cikgu Nadzri yang baru pulang dari Sabah. Ustaz Mohd Yusfee, secara perlahan mula memperkenal dan menggerakkan HPA di sekitar pekan Kamunting, Taiping dan Batu Kurau. Pada mulanya beliau telah menjemput PJS Cikgu Ismail dan PJS Cikgu Nadzri untuk memberi taklimat HPA di Restoran Kamunting Timur. Jemputan dibuat hampir 100 orang. Namun yang hadir hanya 5 orang sahaja. Kedua - dua PJS ini berceramah dengan penuh bersemangat walaupun yang mendengarnya hanya 5 orang sahaja. Tetapi perkara sebegitu tidak sedikit pun melumpuhkan semangat Ustaz Mohd. Yusfee untuk menjemput lagi PJS Cikgu Nadzri dan PJS Cikgu Ismail. Setiap minggu Ustaz Mohd Yusfee bersama kedua - dua PJS ini mengadakan program perjumpaan mingguan di restoran tersebut. Makin lama makin ramai yang hadir. Ahli - ahli lama mula dapat mengesan bahawa HPA kembali menjelma di Kamunting dan Taiping. Ramai yang mula hadir ke restoran tersebut. Saudara Razali Kassim yang telah lama mendiamkan diri, telah muncul secara tiba-tiba bersama rangkaiannya yang lama. Begitu juga dengan Puan Haridah Khanun yang menyepi sekian lama muncul kembali bersama beberapa sahabat lama yang pernah berjuang bersamanya dulu.

Atas usaha PJS Cikgu Nadzri dan PJS Cikgu Ismail juga, HPA Cawangan Taiping telah berjaya diadakan di Pekan Kamunting dengan Pengurusnya yang pertama iaitu En. Saifuddin pada bulan Oktober 2005. Hanya 3 bulan sahaja En. Saifuddin menjadi Pengurus HPA Cawangan Taiping. Kemudian beliau diganti pula dengan Cik Norazlina Bt Darus yang telah banyak menghadapi ujian yang getir semasa menguruskan HPA Cawangan Taiping. Perasmian HPA Cawangan Taiping juga telah diadakan pada 3 Februari 2007 yang dirasmikan sendiri oleh Tuan Haji Ismail Bin Haji Ahmad, Pengarah Urusan HPA.

Kini HPA makin berkembang pesat di Kamunting dan Taiping. Jualan bulanannnya mencecah hampir RM 200 ribu. Perjumpaan mingguan diadakan pada setiap minggu pada hari Isnin, jam 8.30 malam. Program yang dirancang oleh Kelab Pemimpin Utara ( KPU ) telah mendapat sambutan yang luar biasa. Tiap-tiap minggu PJS dari KPU silih berganti menyampaikan ceramah di cawangan tersebut. Program Perkongsian Bijak Cemerlang (PBC) juga telah diadakan pada setiap bulan. PJS Cikgu Nadzri, PJS Cikgu Ismail dan PJS Cikgu Noormah Zainol dipertanggungjawab mengurus dan mengendalikan PBC yang diadakan di Hotel Seri Malaysia dan Taiping Golf Resort.

Alhamdulillah, kini HPA di Taiping telah berjaya melahirkan beberapa pemimpin berpangkat Pengarah Jati. Antaranya
PJ Mohd Yusfee Yusof, PJ Mohd. Irwan Azahari Tahir, PJ Mohd. Shahril Tahir, PJ Mohd. Affendy Ismail, PJI Haridah Khanun, , PJE Azizah Hamzah, PJ Sazali Salihuddin, PJ Hindon Abdul Aziz, PJ Nabishah, PJ Imillia Abdul Malek dan ramai lagi. Mereka adalah pemimpin yang dijenamakan semula sebagai tenaga penggerak utama bagi memastikan HPA terus cemerlang dan gemilang di Perak Utara.

No comments:

Post a Comment